Minum air secukupnya mampu membangkitkan rasa segar pada tubuh seseorang serta ia pastinya sangat baik bagi memastikan tubuh dapat bekerja dengan sempurna. Semua bahagian organ dalam tubuh memerlukan air bagi memastikan aktiviti dalaman dapat bekerja dengan cekap. Rasa haus adalah tindakbalas awal bahawa tubuh kekurangan air. Kekurangan air juga mampu memudaratkan kesihatan seseorang. Ramai yang berpendapat jumlah pengambilan air putih adalah termasuk air manis. Ternyata ianya silap kerana 8 gelas yang disyorkan oleh pakar-pakar kesihatan adalah tidak termasuk minuman manis. Ramai juga yang mengakui mereka minum air putih dengan cukup tetapi tidak konsisten untuk hari-hari yang lain. Apa kata kita sama-sama baca tentang ajaibnya air putih sehingga mampu menangani pelbagai masalah kesihatan.
1. Masalah Kulit
Memiliki kulit yang sihat bukan sahaja dipandang secara luaran. Kesihatan kulit yang bermula dari dalam adalah titik permulaan untuk memiliki kulit yang sihat. Kulit wajah adalah bahagian luaran yang menjadi tumpuan umum sebelum kulit badan. Bekalan air yang kurang boleh mengakibatkan tubuh mengalami kesukaran untuk membuang toksin-toksin yang terdapat dalam badan. Akhirnya masalah kekurangan air akan ditunjukkan melalui masalah kekeringan kulit. Masalah kulit yang paling kerap terjadi adalah jerawat. Jika jerawat muncul, itu petanda awal kesihatan kulit semakin merosot.
2. Menjaga Buah Pinggang
Fungsi utama buah pinggang adalah menyingkirkan sisa buangan yang dipanggil 'urea' dan 'kreatinin'. Kurangnya air menyebabkan racun akan terkumpul dalam buah pinggang. Apabila racun yang terkumpul sukar keluar, lama kelamaan ia mampu merosakkan buah pinggang. Minumlah banyak air untuk membersihkan buah pinggang sekaligus menghindari tubuh dari diracuni.
3. Lemah Sendi
Sendi juga memerlukan air bagi memastikan kelancarannya bergerak. Kekurangan air akan mengakibatkan bahagian sendi akan haus. Akhirnya sendi akan lemah dan tidak mampu menampung atau menyokong pergerakkan tulang dengan baik.
4. Pedih Ulu Hati
Pedih ulu hati akan menimbulkan rasa pahit pada bahagian kerongkong. Kemudian, kerongkong akan merasa tidak selesa dan panas. Selain dari pengambilan makanan yang pedas, kekurangan air juga boleh menyebabkan asid dalam perut bertambah serta menimbulkan rasa kurang selesa.
5. Timbulnya Tanda Penuaan Yang Cepat
Makin hari memang makin tua. Makin kita abaikan kuantiti air sehari yang masuk dalam tubuh, makin cepatlah tanda penuaan akan muncul. Contoh paling ketara adalah garis-garis penuaan sekitar wajah. Air berperanan memperbaiki sel kulit serta menghidrasi kulit dengan lebih baik. Air juga memiliki oksigen, dan ini membantu melancarkan perjalanan darah berjalan dengan lancar. Oleh itu usahakan untuk minum air sekurang-kurangnya 2-3 liter air sehari.
6. Obesiti
Macam mana kekurangan air menyumbang kepada masalah kegemukkan atau obesiti? Kandungan garam yang tinggi dalam badan cenderung mengakibatkan seseorang itu mengalami masalah berat badan jenis air. Garam akan memerangkap air dalam badan. Hanya dengan meminum sejumlah air yang mencukupi yang membolehkan air yang terperangkap dalam badan dibuang. Selain itu, rasa lapar dan dahaga kadang kala memberikan rasa yang serupa. Mungkin anda keliru sama ada perlu makan atau minum. Lebih-lebih lagi jika pada waktu itu anda mengalami keletihan yang melampau membuatkan anda memerlukan tenaga yang lebih dan akhirnya anda akan makan.
7. Sembelit
Sembelit bukan hanya berpunca dari kekurangan makanan berserat semata-mata. Punca lain adalah disebabkan kekurangan pengambilan cecair. Kurang minum air menyebabkan dehidrasi dan melambatkan pergerakkan usus. Banyak sisa-sisa makanan termendap dalam usus dan akhirnya mengalami masalah sembelit.
8. Alergi.
Kekurangan cecair meningkatkan risiko untuk terkena alahan. Sewaktu kekeringan, saluran darah dalam tubuh akan ikut terpengaruh. Ia boleh menyebabkan alahan terutama pada salur pernafasan. Banyakkan minum air putih untuk mendapatkan kadar oksigen yang tinggi.
Dah tahu kan?? Banyak manfaat kalau cukup minum air putih. Tak rugi sikit pun. Kesihatan pun semakin baik jika tubuh menerima air yang mencukupi. Yang belum cukup, mungkin hari ini merupakan hari yang paling sesuai untuk 2-3liter air.
Comments
Post a Comment