Pesanan Untuk Lelaki, Lakukanlah 8 Pemeriksaan Kesihatan Wajib Untuk Elak Risiko Penyakit



Pada umumnya, lelaki kurang cenderung untuk melakukan peperiksaan kesihatan berbanding wanita. Pemeriksaan kesihatan membantu mencegah sebarang penyakit dikalangan lelaki. Demi mengekalkan tahap kesihatan dan mengelakkan dari mendapat risiko penyakit, terdapat beberapa jenis pemeriksaan kesihatan yang wajar dibuat oleh lelaki

1. Ujian Paras Kolesterol


Kolesterol merupakan lemak protein di dalam darah yang mampu menimbulkan masalah salur darah tersumbat apabila berada pada tahap tinggi. Pemeriksaan paras kolesterol amat penting dalam mengetahui tentang tahap kesihatan jantung.

Terdapat 2 jenis kolesterol iaitu kolesterol jenis HDL, iaitu kolesterol baik yang melindungi jantung. Manakala kolesterol jenis LDL merupakan kolesterol jahat yang mengundang risiko penyakit jantung

Lakukan ujian di awal usia 20an dengan kekerapan 2-5 tahun sekali bergantung kepada paras normal. Jika bacaan jantung adalah berada dalam paras tidak normal, ujian perlulah dilakukan setiap 6 bulan atau mengikut nasihat doktor.

2. Tekanan Darah

Lakukan pemeriksaan tekanan darah bagi mengelakkan penyakit serius seperti angin ahmar dan penyakit jantung koronari. Kajian menunjukkan 1/5 setiap orang dewasa atau lebih kurang 50 juta penduduk dunia mengalami masalah tekanan darah.

Awas jika bacaan tekanan darah anda melebihi 140/90mmhg. Keadaan ini memberi kesan dan boleh menimbulkan ketegangan terhadap jantung serta merbahaya  untuk jangka masa panjang. Pemeriksaan adalah baik jika dilakukan seawal remaja dengan sekurang-kurangnya setahun sekali.

3. Pemeriksaan Darah Kesan Diabetes

Ujian darah membantu anda mengesan jika anda seorang pengidap diabetes. Jika keputusan darah menunjukkan tahap yang tinggi, anda dinasihatkan untuk menjalani pemeriksaan 'glucose tolerance test' untuk mengesahkan simtom diabetes. Ujian ini dilakukan dengan memberikan minuman bergula dan selepas pemeriksaan akan dilakukan dengan mengambil darah.

Jika anda tidak menunjukkan simptom diabetes seperti berat badan berlebihan atau penyakit keturunan, anda boleh melakukan pemeriksaan diabetes pada usia 45 tahun. Namun, jika anda memiliki tanda-tanda kencing manis atau mempunyai sejarah keluarga mengidap kencing manis, lakukanlah pemeriksaan darah dengan lebih awal lagi. Kekerapan pemeriksaan darah bagi mereka yang tidak menunjukkan masalah kesihatan, dinasihatkan menjalani ujian darah setiap 3 tahun sekali.

4. Ujian Kepadatan Tulang

Selain wanita, lelaki turut tidak terkecuali  dalam mengalami masalah tulang rapuh (osteoporosis). Berdasarkan kajian lalu, didapati lelaki yang berumur melebihi 50 tahun, 6% daripada mereka mengalami masalah patah tulang pinggul, manakala 5% daripadanya mengalami masalah patah tulang akibat osteoporosis.Nilai peratusan ini akan bertambah mengikut peningkatan usia.

5. Pemeriksaan Kolonoskopi 

Jika tidak dirawat diperingkat awal, kanser yang melibatkan usus besar dan rektrum sering menyerang lelaki. Ujian ini dilakukan dengan cara memasukkan tiub yang mempunyai kamera ke dalam dubur pesakit. Melalui ujian ini, seluruh bahagian usus besar dapat diperiksa, oleh itu jika terdapat sebarang ketumbuhan dan tanda kanser usus besar ia mudah dikesan. Jika anda memiliki kesihatan yang baik, anda boleh menjalani pemeriksaan ini pada usia 50 tahun.

6. Pemeriksaan Mata

Penyakit glaukoma mampu dicegah jika pemeriksaan mata dilakukan secara berkala. Bagi mereka yang berumur 18 tahun, perlu melakukan pemeriksaan mata sekurang-kurangnya 1-3 tahun sekali. Jika anda merupakan pengidap diabetes, anda lebih berisiko untuk mengalami masalah penglihatan .

7. Pemeriksaan Buah Zakar

Awas pada lelaki berusia 15 hingga 34 tahun kerana anda berisiko untuk mengidap kanser buah zakar. Akan tetapi, jika masalah ini dikesan awal, 90% pesakit buah zakar boleh disembuhkan. Selain pemeriksaan oleh doktor atau pakar perubatan, pemeriksaan ini boleh dilakukan sendiri dengan mengesan benjolan atau pembesaran buah zakar. Lakukanlah pemeriksaan buah zakar setiap bulan agar kanser buah zakar mampu ditangani

8. Pemeriksaan Kanser Prostat

Lazimnya, ujian dijalankan adalah dengan membuat pemeriksaan rektum digital untuk mengenal pasti sebarang perubahan di kawasan yang dianggap kanser. Ujian PSA (Prostate Specific Antigen) atau secara pemeriksaan darah pula adalah bertujuan menyukat bahan protein yang dihasilkan oleh sel prostat. Semakin tinggi paras PSA semakin tinggi kemungkinan adanya kanser prostat. Pemeriksaan boleh dilakukan ketika usia mencapai 50 tahun. Akan tetapi jika terdapat ahli keluarga yang mempunyai sejarah kanser prostat, seeloknya dilakukan 5 tahun lebih awal.

[Sumber ; Rapi, Jan2011]

 

 







Comments